Info StatsDigital


Jabatan Perangkaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1949 di bawah peruntukan Ordinan Statistik 1949 dan dikenali sebagai Biro Statistik. Pada tahun 1965, Biro Statistik ini telah bertukar nama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan beroperasi di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965.

Sepanjang tempoh penubuhannya, fungsi dan peranan Jabatan sentiasa berkembang selaras dengan keperluan statistik yang lebih luas sama ada dalam bidang ekonomi mahupun bidang sosial. Perkembangan ini telah membawa kepada kepelbagaian penerbitan statistik dan laporan Jabatan.

Dalam usaha melestarikan penerbitan statistik dan laporan terpelihara sebagai khazanah negara, Jabatan telah melaksanakan Modenisasi Pendigitalan DOSM. Modenisasi yang dinamakan StatsDigital ini telah mentransformasikan statistik dan laporan berbentuk fizikal kepada bentuk digital yang boleh dicapai oleh semua peringkat pengguna melalui Portal StatsDigital.

Portal StatsDigital ini mengandungi penerbitan seawal tahun 1891 hingga ke tahun semasa. Pengguna boleh memilih penerbitan dalam bentuk e-book atau set data yang akan memudahkan pengguna melakukan analisis yang berkaitan.